Nabi Tidak Mengenang Kenangan Pahit


Nabi Tidak Mengenang Kenangan Pahit.

Ya, dalam rekod-rekod hadith yang disemak, kita tidak akan menemui rekod hadith Nabi Muhammad Sollahu 'Alayhi wa Sallam bercakap-cakap atau bercerita tentang kenangan pahit yang baginda alami.

Kecuali apabila ditanya. 

Dalam rekod Sahih al-Bukhari, Saidatina Aisyah bertanya Nabi tentang peristiwa sedih yang menimpa baginda selain daripada Perang Uhud. Baginda menceritakan peristiwa dakwah ke Taif.

Mengenang semula kisah, kenangan yang memeritkan akan membuatkan kita sedih. Kita tidak akan gembira. Kita tidak tenang hati.

Apabila kita membaca kisah Saidatina Khadijah yang diceritakan sendiri oleh Nabi sendiri, semuanya tentang kebaikan dan perkara yang menggembirakan Nabi.

Nabi Muhammad tidak pula menceritakan tentang bagaimana situasi di saat Saidatina Khadijah meninggal dunia.

Tidak mahu menceritakan kenangan pahit bukan bermaksud melupakannya. Biarlah ia menjadi memori yang mendidik dan mengajar erti sebuah kehidupan.

Apabila Wahsyi memeluk Islam. Beliau risau andai Nabi Muhammad akan mengapa-apakan beliau. Lalu beliau ikut serta rombongan utusan. Umum tahu ketika itu, Nabi Muhammad tidak sesekali membunuh utusan.

Apabila Nabi Muhammad melihat Wahsyi, baginda bertanya, “Benarkah saudara yang membunuh Hamzah?"

Wahsyi menjawab, “Berita yang sampai kepada Tuan itu benar."

Nabi Muhammad berkata, “Bolehkah saudara memalingkan wajah saudara daripada pandangan saya?"

Lalu Wahsyi beredar dari situ. Beliau menetap jauh dari Kota Madinah.

Nabi Muhammad tidak membenci Wahsyi. Wahsyi telah pun menerima Islam. Ia nampak seperti dengan hadirnya Wahsyi di hadapannya, membuatkan baginda terkenang akan kematian Saidina Hamzah dalam Perang Uhud.

Baginda tidak membalas perbuatan jahat, tetapi beliau mengelak berhadapan dengan mereka itu.

Gembirakan hati kita dengan tidak lagi mengenang kembali memori juga elakkan berjumpa mahu pun berurusan dengan mereka yang telah meruntun jiwa, rasa gundah gulana, sedih dan pedih di hati.


Jauhkan diri dari mereka yang telah menyakitkan. luka itu terlalu dalam. Ceritakan selalu kenangan dan bersama mereka yang memberi kegembiraan, memori bahagia.






NOTA TANGAN : Sirah nabi yang perlu diteladani dalam menjalani kehidupan




No comments:

Post a Comment