Usah kemarau setahun, rosak dek hujan sepagi



"Usah ditayang rasa ceria, apa kata orang berduka. Usah dipapar cerita gembira, apa kata mereka yang menderita. Usah ditunjuk pakaian bergaya, nanti mereka yang tidak ada apa apa menyeka air mata.

Usah ditunjuk makan berselera, apa hal orang yang lapar sengsara. Usah di posting keluarga bahagia, apa rasa mereka tidak bekeluarga...dan banyak lagi"

Secara tulus luhur saya jadi gila pening rasa tumbang tak berdaya memerhatikan patah patah perkataan begini. FB bukan dinding ratapan. Bukan. Bukan tempat gelap gelita tanpa cahaya. Bukan alam jiwa kacau. Bukan alam kelkatu mahu terbang ke langit.

Usah kita biarkan FB jadi sarang orang politik mabuk todi. Cakap merepek bagai dunia mahu terbalik. Bersengketa kata, saling menegak benang basah. Saling berbalah walaupun kaki mereka sukar mahu basah dan jarang menangis atas sejadah.

Apa dosanya mahu melihat pelangi gembira hidup yang warna warni. Tatkala kita berduka, ada dua jalur cahaya. 

Pertama, tatkala kita tidak berkasut, kita tahu ada insan yang tidak berkaki lebih hebat dari kita. Tuan Raja Shamri, umpama kata, hero kita dalam kerja sukarela. Pada ruang masa yang ada, hulurlah seringgit dua untuk membantu mangsa.

Tatkala kita rasa ralat dengan pelbagai cabaran, ingat kita pada Tuan Saiful Nang yang bangkit dari segala kekurangan dan kini menjaga ratusan anak yatim berbekalkan kepakaran kamera.

Ada masa kita rasa tidak berselera, pandang sahaja masakan rambo Tuan Haji Wan Hilmi Wan Mohd Nor, dan berlagaklah kita macam Abu Nawas dan mereka yang seumpamanya yang makan nasi panas dan lihat sahaja udang galak masak lemak itu depan komputer dan kita boleh makan secara berselera hanya dengan imiginasi sahaja.

Kedua, Manusia bermanfaat adalah manusia hebat. Manusia bersemangat yang rasa bahagia dan gembira hanya dengan melihat wajah wajah gembira di depan skrin komputer. 

Saya ingin melihat warna warni itu. Keluarga bahagia, makanan berselera, pakaian bergaya dan banyak lagi yang boleh menggembirakan Malaysia untaian zamrud khatulistiwa ini. Usah pudarkan rasa ceria dalam FB.

FB adalah tempat kelok paku, asam belimbing. Anak dipangku, kemenakan dibimbing. Anak kita dan anak orang, sahabat kita dan sahabat orang , semuanya terbimbing terpimpin. 

Hilangkan dengki dan iri hati. Rezeki itu hak masing masing. Usah kemarau setahun, rosak dek hujan sepagi.

Tenanglah wahai diri.. Berdamai sejujur hati. Usah ada sengketa antara kita. Kembali kepada sifat hamba. Sujud syukur pada Allah Pencipta kita. Satu waktu yang singkat kita akan kembali kepada Dia.

 nukilan : Dato' Roslan Ab Hamid






 NOTA TANGAN : Kita selalu letak kandang kandang dalam kehidupan. Manusia bosan dengan kehidupan berkandang.





No comments:

Post a Comment