menyerlahkan potensi diri


Jika anda mahu menyerlahkan potensi diri, lakukan perkara-perkara berikut;

i. Membuat percubaan pertama
Ingat, bukanlah buruk sangat orang yang gagal oleh percubaannya yang pertama itu. Tanpa percubaan dan kegagalan tidak mungkin Wright Bersaudara dapat menerbangkan kapalterbang pertama. Meskipun ada orang yang terus berjaya pada cubaan pertama, orang yang gagal pun tidak kurang ramainya. Dalam hal keagamaan, bagi orang yang tidak pernah solat, beranikanlah diri untuk buat pertama kalinya solat. Meskipun mungkin kekok atau salah, itu adalah percubaan pertama yang akan memberi kefahaman apabila terus belajar memperbaiki diri. 

ii. Perbaiki untuk cubaan kedua
Andainya cubaan pertama itu gagal, lakukanlah R&D, carilah mana-mana kelemahan dan kekurangan yang mungkin menjadi penyebab kepada kegagalan itu terjadi. Adalah kurang cerdik orang yang gagal pada percubaan-percubaan yang sama secara berulang. 


iii. Ulangi lagi buat kali ketiga
Setelah melakukan kajian dengan menambahbaik mana-mana yang patut, lakukan percubaan ketiga. Biasanya pada percubaan kali ini, apa yang awak lakukan itu sudah sempurna. Jarang orang gagal pada cubaan ketiga kalinya, kecuali perkara yang hendak dilakukannya itu memang belum pernah dilakukan oleh manusia misalnya inovasi-inovasi yang unik lagi luar biasa.


iv. Kekalkan apa yang terbaik
Setelah awak mendapat rentaknya, kekalkan. Seorang peniaga, andainya sudah berniaga restoran selama dua bulan misalnya, dia sudah mula menampakkan keistimewaannya di kalangan masyarakat sekeliling. Dia perlu kekalkan berniaga untuk sebulan lagi untuk membiasakan ingatan masyarakat terhadap kewujudannya itu. Andainya masakan yang disediakan sedap serta harganya juga berpatutan serta bersih, pelanggan akan mula terlekat. Selepas itu adalah tempoh kejayaan demi kejayaan. Demikian juga dalam peribadahan, misalnya zikir. Andainya berzikir diteruskan akhirnya akan menjadi tabiat. Apabila sudah menjadi tabiat mulut akan dengan sendirinya berzikir sepanjang masa tidak kira apa keadaannya.


v. Perkatakannya selalu
Pada tahap ini seseorang itu sudah benar-benar melihat potensinya menjadi. Dia sudah boleh menikmatinya tanpa perlu bekerja keras lagi sebagaimana mula-mula hendak memulakannya dahulu. Pada tahap ini perkatakanlah selalu supaya ia tidak kendur di dalam minda. Orang yang belajar menjahit misalnya, jika kerap memperkatakannya akan kekallah minat serta bakatnya akan semakin berkembang. Dalam konteks agama, carilah orang-orang yang sehaluan moga-moga momentum beribadah itu dapat dikekalkan.



Sebenarnya, setiap orang berpotensi dalam semua perkara, hanya bakat yang membezakan sama ada seseorang itu akan semakin maju ataupun sebaliknya. Jika dipasak dengan ilmu asas serta motivasi diri yang tinggi hingga istiqamah dalam setiap usaha yang dilakukan, tidak mustahil potensinya semakin menyerlah.

posting by - DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj






 NOTA TANGAN : kapsul motivasi - buat diriku






No comments:

Post a Comment